Apakah
itu ilmu laduni? Ia adalah ilmu yang membawa pengertian atau makna yang
baru kepada syariat, bukan membawa syariat baru. Ilmu laduni atau ilmu
ilham ialah ilmu yang Allah jatuhkan ke dalam hati para wali-Nya, tanpa
melalui proses usaha ikhtiar atau hasil mendengar kuliah daripada guru
atau hasil berfikir. Ia terjatuh direct ke dalam hati. Yang mana bila
disyarahkan atau dihuraikan, ia jadi satu ilmu atau satu huraian yang
sangat ilmiah. Ertinya ia jadi satu ilmu yang sangat bermanfaat. Ilmu
yang didapati itu tepat, meyakinkan, logik, memberi kepuasan serta tidak
meletihkan otak. Bagaimana pun ia boleh lupa daripada ingatan. Berbeza
dengan ilmu hasil belajar, membaca, berfikir atau mentelaah yang cepat
menjemukan. Kadang-kadang ianya tidak tepat, tidak meyakinkan atau tidak
logik dan meletihkan. Untuk mendapatkannya perlu proses masa yang lama.
Ertinya hasil membaca, berfikir setelah faham baru dapat ilmu.
Kalau
begitu ilmu laduni atau ilmu ilham bukan membawa syariat yang baru. Ia
membawa makna atau tafsiran yang baru, yang sesuai dijadikan tindakan
dan penyelesai masalah untuk zamannya atau makna yang tertentu, khusus
untuk orang itu. Mengapa pula ilmu ilham atau ilmu laduni ini dikatakan
sebagai penyelesai masalah sesuai dengan zamannya dan bukan untuk semua
zaman? Kalau saya hendak misalkan ilmu Allah itu yakni ilmu Al Quran
atau Sunnah Rasul, yang maha luas dan tidak berkesudahan itu diibaratkan
sebagai khazanah lautan, setiap orang yang mencari khazanah lautan itu
insya-Allah dapat sesuatu yang bermanfaat untuk dirinya dan juga untuk
orang lain. Apa yang diperolehi oleh setiap orang itu mungkin tidak sama
di antara satu sama lain. Mungkin ada yang dapat kerang atau ada yang
dapat ikan sahaja. Orang yang dapat ikan pula mungkin tidak sama
jenisnya. Ada yang dapat ikan yu, ada yang dapat ikan pari, ikan kembung
dan sebagainya. Ada juga yang dapat minyak, mutiara, batu karang dan
lain-lain lagi.
Bagi orang yang tidak faham, dia akan mengatakan
kepada orang yang dapat batu karang: “Awak ni tak dapat apa-apalah! Saya
dapat ikan. Inilah khazanah lautan yang sebenar. Awak ni dapat batu
karang dari hutan mana?” Tapi bagi orang yang dapat batu karang
menyangka mereka yang dapat ikan itu bukan dari khazanah laut. Akhirnya
berlakulah tuduh-menuduh. Sebenarnya kerang dan ikan sama-sama khazanah
laut, tetapi oleh kerana masing-masing kurang ilmu, maka masing-masing
menganggap apa yang mereka dapat itulah sebenarnya dari laut. Yang lain
bukan dari laut. Lebih-lebih lagi orang yang dapat minyak, tentulah
mereka lebih sombong lagi dan menuduh orang-orang yang dapat benda-benda
lain tidak dianggap dari khazanah laut. Oleh itu bagi orang yang faham
tentang laut, ia tidak jadi masalah. Semua yang disebut itu adalah
khazanah lautan. Cuma keperluan saja yang tidak sama. Ikan untuk
dimakan. Kalau minyak untuk enjin dan batu karang pula untuk hiasan dan
begitulah seterusnya.
Jadi, orang yang dikurniakan ilmu laduni atau
ilmu ilham ini adalah orang yang mendapat khazanah dari lautan ilmu
Allah. Ada macam-macam ilmu dan setiap sesuatu ilmu itu mempunyai banyak
pengertian dan tafsirannya. Jadi Allah memberi pengertian dan tafsiran
satu-satu ayat sesuai pada seseorang itu untuk menyelesaikan masalah di
zamannya atau keperluan seseorang itu. Perkara itu pula kebanyakannya
bukan pengertian mengenai hukum-hakam kerana soal itu sudah tetap dan
tidak berubah untuk setiap zaman kecuali perkara khilafiah. Sebaliknya
ilmu laduni ini kebanyakannya mengenai penghuraian, falsafah, didikan,
hal semasa, metod dan kaedah sahaja. Perkara-perkara ini boleh berubah.
Jika ilmu wahyu disampaikan kepada rasul atau nabi, ilmu laduni atau
ilmu ilham pula Allah kurniakan kepada para wali dan orang-orang soleh.
Ilmu wahyu adalah syariat baru yang memansuhkan syariat yang diamalkan
sebelumnya manakala ilmu laduni akan membawa tafsiran atau makna baru
kepada ilmu wahyu itu, sesuai untuk zamannya atau orangnya. Ilmu wahyu
tidak dilupakan tetapi ilmu laduni atau ilham mudah dilupakan oleh orang
yang menerimanya. Kalau yang menerima ilmu wahyu itu adalah rasul maka
wajib ianya disampaikan tetapi kalau dia seorang nabi, maka tidak wajib
menyampaikannya. Sedangkan ilmu laduni elok disampaikan kerana ia akan
dapat menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sedang dihadapi oleh
masyarakat, sesuai untuk zamannya. Atau untuk mengetahui hikmah atau
pengajaran sesuatu hukum itu.
Kalau ilmu wahyu ditolak, automatik
seseorang itu akan jatuh murtad atau kafir dan di Akhirat akan terjun ke
Neraka serta kekal selama-lamanya. Sebaliknya kalau menolak ilmu laduni
atau ilmu ilham, tidak menjadi kafir tetapi akan menghilangkan barakah
dan tertutup pintu bantuan Allah. Mungkin ada orang yang akan menolak
pendapat ini tentang ilmu laduni ini dan payah untuk menerimanya
terutamanya:
1. Orang yang tidak percaya adanya ilmu laduni atau ilham di dalam Islam.
2. Seseorang yang tidak ada ilmu ini dan tidak ada pengalaman mengenainya, sekalipun dia mempercayainya.
3. Seseorang yang tahu mengenai ilmu ini tetapi kerana hasad dengki,
dia tidak senang dengan orang yang mendapat ilmu ini, maka dia pun
buat-buat menolaknya, sedangkan hatinya membenarkan.
Apa bukti ilmu laduni atau ilmu ilham ini wujud? Buktinya, adalah berdasarkan hujah berikut:
PERTAMA: Hujah naqli (nas)
1. Hujah Al Quran
Dalam Al Quran ada dalil yang kuat sebagai bukti kewujudan ilmu ini.
“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan ajar kamu.” (Al
Baqarah: 282) Dalam ayat ini jelas Allah memperkatakan tentang
orang-orang bertaqwa yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah, Allah
akan beri ilmu secara wahbiah, tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar atau
berguru.
2. Hujah Hadis
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa
yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya
ilmu yang dia tidak tahu.” (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim) Inilah buktinya.
Ertinya ilmu yang telah sedia ada itu akan bertambah bila diamalkan.
Yakni ia akan dapat ilmu baru hasil dipraktikkan ilmu itu. Proses ini
juga berlaku secara wahbiah.
Inilah yang dikatakan ilmu laduni atau ilmu ilham yang mana Allah pusakakan melalui tiga cara:
i. Ilmu itu Allah jatuhkan terus ke dalam hati.
ii. Adakalanya Allah tayangkan ilmu itu yang boleh dilihat seolah-olah
melihat skrin TV. Sedangkan orang lain yang ada bersama-sama dengannya
ketika itu tidak dapat melihatnya.
iii. Atau mungkin mendengar suara
yang membisikkan ke telinganya tetapi tidak nampak rupa makhluknya.
Inilah yang dikatakan hatif. Mungkin suara ini suara malaikat, jin yang
soleh atau wali-wali Allah.
KEDUA: Bukti Sejarah
Banyak kitab
dahulu menceritakan bagaimana pengalaman salafussoleh, ulama-ulama besar
dan pengarang-pengarang kitab sendiri yang mendapat ilmu-ilmu laduni
ini. Ada kitab-kitab karangan ulama muktabar yang menunjukkan
pengarangnya mendapat ilmu laduni. Di antara ulama yang memperolehi ilmu
laduni atau ilmu ilham ini di samping ilmu melalui usaha ikhtiar ialah
imam-imam mazhab yang empat, ulama-ulama Hadis seperti Imam Bukhari,
Imam Muslim, ulama-ulama tasawuf seperti Imam Al Ghazali, Imam Nawawi,
Imam Sayuti, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Junaid Al Baghdadi, Hassan Al
Basri, Yazid Bustami, Ibnu Arabi dan lain-lain lagi.
1. Imam Al Ghazali
Umurnya pendek sahaja iaitu sekitar 54 tahun. Beliau mula mengarang
selepas sahaja habis bersuluk di kubah Masjid Umawi di Syam (Syria).
Umurnya waktu itu sekitar 40 tahun. Ertinya dalam hidupnya dia mengarang
sekitar 14 tahun. Dalam waktu yang pendek ini dia sempat mengarang 300
buah kitab yang tebal-tebal, yang bermacam-macam jenis ilmu pengetahuan
termasuklah kitab yang paling masyhur iaitu Ihya Ulumuddin, kitab
tasawuf (dua jilid yang tebal-tebal) dan Al Mustasyfa (ilmu usul fiqh
yang agak susah difahami).
Cuba anda fikirkan, bolehkah manusia biasa
seperti kita ini menulis sebanyak itu. Walau bagaimana genius sekalipun
otak seseorang itu, tidak mungkin dalam masa 14 tahun boleh
menghasilkan 300 buah kitab-kitab tebal, kalau bukan kerana dia dibantu
dengan ilmu laduni yakni ilmu tanpa berfikir, yang terus jatuh ke hati
dan terus ditulis. Dalam pengalaman kita kalau ilmu hasil berfikir dan
mengkaji, sepertimana profesor-profesor sekarang, dalam masa empat tahun
baru dapat membuat satu tesis di dalam sebuah buku. Kalau satu buku
mengambil masa empat tahun, ertinya kalau 14 tahun dapat tiga buah buku.
Terlalu jauh bezanya dengan Imam Ghazali yang mencapai 300 buah buku
itu.
2. Imam Sayuti
Umurnya juga pendek, hanya 53 tahun. Beliau
mula mengarang sewaktu berumur 40 tahun dan dapat menghasilkan 600 buah
kitab. Dalam masa hanya 13 tahun dapat menghasilkan sebegitu banyak
kitab. Ertinya dia dapat menyiapkan sebuah kitab setiap dua minggu.
Kitabnya itu pula tebal-tebal dan tinggi perbahasannya dalam
bermacam-macam jenis ilmu. Antara kitabnya yang terkenal Al Itqan fi
Ulumil Quran, Al Hawi lil Fatawa (dua jilid), Al Jamius Soghir
(mengandungi matan-matan Hadis), Al Ashbah wan Nadzoir, Tafsir Jalalain,
Al Iklil dan lain-lain lagi. Kalaulah beliau menulis atas dasar membaca
atau berfikir semata-mata, tentulah tidak mungkin dalam masa 13 tahun
da-pat menulis 600 kitab atau tidak mungkin dalam masa hanya dua minggu
dapat tulis sebuah kitab. Inilah ilmu laduni. Tidak hairanlah hal ini
boleh berlaku kerana dalam kitab Al Tabaqatul Kubra karangan Imam
Sya’rani ada menceritakan yang Imam Sayuti dapat yakazah dengan
Rasulullah sebanyak 75 kali dan dia sempat bertanya tentang ilmu dengan
Rasulullah.
3. Imam Nawawi
Beliau adalah antara ulama yang
meninggal sewaktu berusia muda, iaitu 30 tahun. Beliau tidak sempat
berkahwin tetapi banyak mempusakakan kitab-kitab karangannya. Di antara
yang terkenal ialah Al Majmuk yakni kitab fekah. Kalau ditimbang berat
kitab itu lebih kurang 3 kilogram, yakni kitab fekah yang sangat tebal.
Selain itu termasuklah kitab Riadhus Solihin, Al Azkar dan lain-lain
lagi. Untuk mengarang kitab Al Majmuk saja kalau ikut kaedah biasa yakni
atas dasar kekuatan otak, tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa dua
atau tiga tahun. Mungkin memakan masa 10 tahun. Ini bererti dia mula
mengarang semasa berumur 20 tahun. Biasanya di umur ini orang masih
belajar lagi. Tetapi di usia semuda itu Imam Nawawi mampu mengarang
bukan saja Al Majmuk, tetapi turut mengarang kitab-kitab besar yang
lain. Ini luar biasa! Biasanya orang jadi pengarang kitab di penghujung
usianya. Ini membuktikan selain dari cara belajar, ada ilmu yang Allah
pusakakan tanpa belajar, tanpa usaha ikhtiar dan tanpa berguru. Itulah
dia ilmu laduni atau ilmu ilham.
Sesudah kita mengkaji kemampuan
ulama-ulama dahulu, kita lihat pula ulama-ulama sekarang ini dan cuba
kita bandingkan. Berapa banyakkah buku-buku atau kitab yang telah
ditulis oleh mereka sekalipun setelah mereka ada PhD? Oleh itu, jika
ulama-ulama dulu mampu menulis kitab-kitab yang banyak dan tebal-tebal
dalam masa yang singkat tentulah ianya bantuan Allah yang luar biasa
melalui ilmu laduni atau ilmu ilham yang bersifat wahbi di samping ilmu
kasbinya. Jelaslah sekarang ini sudah tidak ada lagi ulama yang dapat
ilmu laduni. Ini kerana kita semua sudah bersalut dengan cinta dunia dan
berkarat dengan mazmumah. Lihatlah zaman sekarang ini, susah untuk kita
dapati ulama yang mengarang buku atau kitab. Mereka tidak mampu
mengarang kerana kekeringan minda, sibuk dengan dunia, di samping perlu
menggunakan otak, berfikir, membaca, banyak mentelaah dan kena banyak
reference yang tentunya memakan masa yang lama. Ini semua membosankan
dan meletihkan, banyak ambil masa serta tidak cukup masa. Mereka tidak
dapat pula ilmu melalui saluran ilham. Maka inilah rahsia kenapa ulama
sekarang tidak menulis atau kurang menulis.
FIRASAT
Firasat ialah perasaan atau gerakan hati yang benar atau tepat kerana
mendapat pimpinan dari Allah. Sabda Rasulullah: “Takutlah olehmu firasat
oran mukmin kerana ia memandang dengan cahaya Allah.” (Hadis Riwayat At
Tarmizi)
Jika hati kotor, syaitanlah yang mengisinya yakni jahat sangka, keraguan dan lain-lain lagi.
Apa itu kasyaf? Kasyaf ertinya ’singkap’ yakni tabir-tabir jadi
penghalang atau yang jadi hijab pada mata batin untuk melihat alam ghaib
atau rohaniah itu, Allah singkapkan. Allah buka dan perlihatkan.
Tabir-tabir penghalang itu adalah sifat-sifat mazmumah. Apabila
tabir-tabir mazmumah itu sudah terangkat, maka hatinya jadi celik dan
terang-benderang, putih bersih. Sehingga mata mampu melihat
makhluk-makhluk Allah yang pelik-pellik di alam yang bukan alam benda
atau material itu seperti melihat alam jin, malakut dan alam barzakh.
Juga dapat melihat sifat batin manusia yakni seseorang itu berperangai
seperti kuda, maka rupa orang itu seperti kuda. Kalau berperangai
anjing, orang itu berupa anjing. Allah perlihatkan hakikat orang itu.
-qarl muhd-
kreadit kepada usaha taqwa.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan